fbpx

Malakoff, UniKL teroka potensi kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen LOI antara Malakoff dan UniKL baru-baru ini.

PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Universiti Teknikal Mara  Sdn. Bhd. (UniKL) bagi meneroka potensi kerjasama.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin berkata, kerjasama itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan termasuk latihan industri bagi pelajar UniKL.

Menurut Anwar, beliau yakin generasi muda yang serba lengkap adalah penting bagi memacu negara ke arah mencapai sasaran peralihan tenaga dan memastikan masa depan yang mampan.

“Pengalaman luas Malakoff di dalam industri tenaga, digandingkan dengan usaha produktif dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti projek dekarbonisasi di loji termal di Johor menempatkan kami di barisan hadapan kemajuan industri.

“Malakoff komited untuk berkongsi pengetahuan terkini dengan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pertukaran dokumen itu diwakili Ketua Pegawai Sumber Manusia Malakoff, Raja Iskandar Raja Mukhtaruddin dan Pengerusi UniKL, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang disaksikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, kata Anwar, LOI tersebut turut merangkumi projek penyelidikan bersama yang memberi kepentingan kepada kedua-dua pihak serta membolehkan mereka mendapatkan geran bagi menyokong usaha sama berkenaan.

Justeru, tambah Anwar, Malakoff akan meningkatkan kemahiran dan keupayaan kakitangan teknikal melalui program latihan yang tepat serta memastikan tenaga kerja sentiasa terkehadapan dalam standard industri.

Untuk rekod, Malakoff telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) tahun lalu bagi berkongsi kemahiran dalam industri RE.

Ia juga termasuk penyelesaian tenaga dan sistem penyejukan berpusat kepada pelajar program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuhkan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang disesuaikan untuk pekerjaan tertentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI