PETALING JAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan di bawah mekanisme Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi memastikan persediaan negara menjelang permulaan tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hari ini yang dihadiri anggota Jemaah Kabinet dan semua agensi berkaitan.
“Ini adalah mesyuarat pertama selepas Malaysia menerima Kepengerusian ASEAN di Lao PDR, Jumaat lalu, bertujuan memperhalusi tahap persediaan negara menjelang permulaan tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan keperluan untuk semua pihak membuat persediaan yang rapi bagi memastikan persidangan ini dapat berlangsung dengan sempurna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, penyelarasan peranan dan tanggungjawab setiap kementerian, agensi serta entiti kerajaan perlu berada di tahap terbaik dan memberikan kerjasama menyeluruh.
“Tumpuan khusus adalah memperkemas dan mempertingkatkan persiapan logistik bagi menjaga imej Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Persiapan rapi ini amat penting bagi memastikan Malaysia dapat mengetengahkan kepimpinan ASEAN yang berpandangan ke hadapan dalam menangani cabaran di rantau ini dan di peringkat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE