fbpx

KL banjir, berjuta pengguna terperangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN banjir kilat yang berlaku di Jalan Raja Mahadi Kampung Bharu, Kuala Lumpur semalam. - AMIR KHALID

PETALING JAYA – Suasana di Lembah Klang seakan huru-hara semalam apabila kebanyakan jalan-jalan utama mengalami ke­sesakan luar biasa selepas dinaiki air ekoran hujan lebat hingga menjejaskan 13 kawasan dan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Ampang.

Kawasan banjir kilat berlaku di Jalan Pudu, Salak Selatan, Jalan Kuching, Jalan Pantai Baru, Jalan Genting Klang, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Gombak, Jalan Damansara, Jalan Manjalara, Jalan Maharajalela, Jalan Wangsa Maju dan Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Tun Razak.

Beribu-ribu kenderaan terpe­rangkap ketika menuju ke tempat kerja termasuk sebahagian wakil rakyat gagal ke bangunan Parlimen untuk mengikuti sidang Dewan Rakyat ekoran jalan dinaiki air.

Kenderaan ke Bukit Aman turut terperangkap.

Bencana itu turut mengakibatkan penduduk di Taman Melawati, Ulu Kelang di Ampang cemas apabila tanah runtuh setinggi 30 meter berlaku di kawasan perumahan pada pukul 11.42 pagi, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Air yang turun dari bukit me­ngakibatkan jalan di kawasan perumahan itu bertukar merah ke­rana bercampur lumpur. Bomba turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga ekoran masih terdapat pergerakan tanah di kawasan itu.

Polis turut mengarahkan ­penghuni di 20 buah kediaman tanah runtuh berpindah sementara ke dewan serbaguna, Jalan E5 Taman Melawati.

Sebuah motosikal dan kabin pondok pengawal rosak dihempap tanah runtuh di situ.

Bomba turut menyelamatkan 21 pelajar tabika di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang yang terperangkap apabila kelas mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Guru-guru bersama pelajar dan kakitangan yang lain bergotong-royong membersihkan persekitaran sekolah yang dinaiki air akibat banjir kilat ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan dan Pra Sekolah Hulu Kelang. – SADDAM YUSOFF

Selain itu, kawasan lain di sekitar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran bangunan Bank Rakyat dan Kampung Segambut Dalam juga turut dinaiki air.

Kawasan pengangkutan awam seperti stesen Transit Aliran Ringan Taman Melati, Wangsa Maju turut terjejas kerana air bertakung hingga memaksa laluan Kelana Jaya diaktifkan. Tren dari Putra Heights juga terpaksa berpatah balik ke Sri Rampai.

Tren perantara juga diaktifkan antara Taman Melati ke Gombak dengan Rapid KL menyediakan bas perantara, namun berlaku kelewatan sehingga 30 minit da­ripada jadual asal.

Bagaimanapun, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya di antara Stesen Wangsa Maju dan Stesen Gombak kembali pulih pada pukul 3.30 petang.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, taburan hujan luar biasa melebihi 114 milimeter per jam pagi semalam telah menyebabkan air bertakung dan banjir kilat di ibu negara.

“Ia menyebabkan air Sungai Batu, Klang dan Gombak melimpah ke jalan. Pasukan trafik telah ditugaskan mengawal lalu lintas dan semua jalan utama dibuka semula pada pukul 10.45 pagi,” katanya.

Menurut DBKL, lima pam statik diaktifkan di Jalan Sultan Azlan Shah dan di sekitar Bulatan Dato’ Onn bagi menyedut air yang bertakung. Operasi selesai dalam tempoh 30 minit.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM232 juta telah diagihkan kepada semua negeri sebagai persiapan menghadapi bencana tahun ini.

Katanya, bantuan itu diagihkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dan dana tambahan akan diperuntukkan mengikut permohonan negeri berdasarkan jumlah ketua isi rumah yang terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI