fbpx

Kereta dirempuh penjenayah, polis lepaskan tujuh das tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan jenis pikap yang ditinggalkan empat suspek dalam kejadian di Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

HULU SELANGOR – Polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas bertindak agresif melanggar kereta polis ketika cuba ditahan di Serendah di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian pukul 2.41 pagi itu berlaku apabila pegawai polis dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengejar kenderaan mencurigakan tersebut di lokasi berkenaan.

Katanya, kenderaan jenis pikap Mitsubishi Triton dinaiki penjenayah itu merempuh kenderaan polis sehingga membahayakan nyawa pegawai polis.

“Pegawai polis bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek, namun suspek meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan itu di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut merupakan empat lelaki tempatan yang mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek menemui peralatan pecah rumah antaranya tukul besi, pemutar skru serta sebilah parang, kuku kambing dan sebilah sabit,

“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli ditalian 03-6064 1223 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI