ALOR SETAR – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Sabari Baharom, 62, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kubang Pasu, dekat sini esok.
Kedua-dua suspek berusia 38 dan 26 tahun itu akan berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pesara Felcra itu.
Terdahulu, suspek melibatkan kontraktor pembinaan rumah dan anak saudaranya ditahan polis sejak 27 September lalu bagi membantu siasatan kehilangan Sabari yang dilaporkan sejak awal September.
Siasatan lanjut ke atas mereka mengakui telah mencampak warga emas itu ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dengan keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Berikutan itu, polis dibantu agensi penyelamat melancarkan gerakan mencari jasad Sabari di sungai tersebut bermula 30 September lalu sebelum operasi ditamatkan tiga hari kemudian kerana tiada sebarang penemuan diperolehi.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu gagal dikesan.
Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.
Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya. – UTUSAN