LIPIS – Dua beranak cedera parah akibat dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang dalam kejadian di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta di sini kira-kira pukul 1 tengahari semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa, S Dhanalekchumi, 37, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya, K Tanushrou, 7, dari sekolah.
“Keadaan cuaca buruk serta angin yang agak kuat, tiba-tiba sebatang pokok sawit di lereng bukit tumbang menghempap kedua-dua mangsa. Mangsa dilaporkan cedera di leher dan dada, manakala anaknya mengalami kecederaan parah di kepala serta dada,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE