KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan hingga 29 Oktober ini selepas bekas Perdana Menteri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam kerana jangkitan paru-paru.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Dr. Mahathir akan bercuti sakit sehingga 25 Oktober ini.
“Anak guam dimasukkan ke IJN petang semalam kerana mengalami jangkitan saluran pernafasan bawah (LRTI). Kami memohon perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menetapkan perbicaraan disambung pada 29 dan 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember ini.
Pada prosiding akan datang, mahkamah akan mendengar keterangan Dr. Mahathir diikuti anaknya Datuk Seri Mukhriz dan diteruskan dengan keterangan Ahmad Zahid selaku defendan.
Bekas Perdana Menteri sepatutnya disoal balas lanjut oleh pasukan peguam yang mewakili Ahmad Zahid pada perbicaraan kes saman terhadap Timbalan Perdana Menteri berhubung ‘isu kutty’.
Presiden UMNO itu disaman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu. – KOSMO! ONLINE