PETALING JAYA – Kerajaan diminta untuk memberi tempoh lebih panjang terutama kepada peniaga kecil sebelum menguatkuasakan larangan pameran produk tembakau yang bakal dilaksanakan pada April tahun depan.
Presiden Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, ia berikutan tempoh lanjutan enam bulan yang diberikan sebelum ini adalah tidak memadai.
Menurutnya, setiap kedai memerlukan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk mengubah suai premis mereka.
“Banyak kos diperlukan untuk ubah suai rak dan tiada bantuan kewangan dari kerajaan. Macam mana kami nak terus beroperasi dalam keadaan macam ini.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, ramai peniaga tertanya-tanya, adakah mereka mampu bertahan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Chee Meng berkata, Kedai runcit yang hanya mempunyai beberapa orang pekerja juga perlu menambah pekerja untuk menguruskan produk yang disembunyikan.
“Ini bukan sekadar larangan pameran, tapi impak keseluruhan kepada cara kami berniaga. Kos pematuhan sahaja dah cecah RM300 juta untuk seluruh negara. Perniagaan kecil macam kami memang tersepit,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kawalan ketat ke atas produk yang sah akan menyebabkan pelanggan beralih kepada barangan seludup yang lebih mudah diakses.
Ujarnya, peniaga kecil kini dalam dilema sama ada patuh kepada undang-undang dan terpaksa keluarkan kos besar atau berdepan risiko hilang pelanggan kepada pasaran gelap.
“Ramai berharap kerajaan akan memanjangkan lagi tempoh pelaksanaan dan memberi bantuan kewangan.
“Kerajaan perlu fikir balik strategi ini. Kami setuju untuk ikut undang-undang, tapi kena bagi masa dan sokongan yang lebih,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE