SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan menyentuh tambahan aset seperti mesin pengimbas barangan, bot marin dan kamera badan (BWC) bagi memantapkan peranan serta bidang kuasa agensi itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, pihaknya juga berharap peruntukan itu turut meliputi tambah baik aset digital yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Al).
“Tambahan aset AI itu penting bagi mengimbangi sebahagian besar pegawai kastam yang akan bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) kelak.
“Saya dimaklumkan satu pertiga daripada kekuatan kita akan ke sana (MCBA). Justeru, kita memerlukan lebih banyak aset AI untuk mengimbangi kekurangan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai MCBA, Anis Rizana berkata, JKDM kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penugasan anggota JKDM di bawah MCBA.
Dalam perkembangan lain, Anis Rizana berkata, seramai dua lelaki tempatan ditahan bersama 33 kilogram (kg) dadah jenis kanabis yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Oktober lalu.
Jelasnya, suspek ditahan pegawai kastam bertugas di Bahagian Perkastaman, Cawangan Penumpang KLIA selepas bagasi di bawa dikesan membawa barangan mencurigakan.
“Dianggarkan berat kasar kesemua dadah tersebut adalah sebanyak 33 kilogram dan nilai dadah yang telah dirampas sekitar RM102,300. Difahamkan, dadah itu untuk edaran di Lembah Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE