SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertahankan tindakan pihaknya dan lain-lain agensi yang berautoriti dalam menangani isu berkaitan GISB Holdings (GISBH).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tindakan yang dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kita negara demokratik, mereka bebas (bersuara) dan kita pertahankan apa dilakukan termasuk daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu tersebut.
“Kita hendak pastikan perkara yang kita buat selama ini adalah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Pemerkasaan Kesedaran Kesedaran Tadbir Urus dan Integriti Rumah-Rumah Anak Yatim di Selangor yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bersama agensi penguatkuasa di Dewan Serbaguna Pustaka Raja Uda, Seksyen 13 di sini.
Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas laporan media berkaitan kenyataan jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa anak-anak dikaitkan dengan GISBH bukan diselamatkan oleh polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menjelaskan rumah yang dipilih untuk anak-anak tersebut berlindung dipastikan terjamin selamat dengan kebanyakan anak-anak kecil itu dijaga dengan baik oleh JKM.
“Buat masa ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menguruskan anak-anak ini (bagi mengenal pasti identiti).
“Untuk memastikan nama awak siapa? Nama bapa siapa, emak siapa? Hendak pastikan betul-betul (identiti mereka), semuanya memerlukan masa yang lama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kana-kanak tersebut turut mengikuti modul melibatkan akidah, akhlak, kenegaraan dan lain-lain.
“Namun, soal berapa lama kesemua kanak-kanak yang terlibat berada di bawah jagaan pihak berkuasa ia akan ditentukan selepas tiga bulan akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE