fbpx

Terkejut lihat tanah, pokok bergerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shukri (dua dari kiri) dan orang kampung menunjukkan tebing runtuh yang berlaku di jalan Ulu Legong-Weng-Tanjung Pari, kelmarin.

BALING – Seorang penduduk terkejut mendengar bunyi rekahan kuat sebelum ternampak pergerakan tanah serta pokok besar sebelum mengesan keretakan pada permukaan jalan dan runtuhan tanah di Jalan Ulu Legong-Tanjung Pari, di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Noor Mohd. Zahari, 48, dia terdengar bunyi kuat itu dari kawasan jalan yang dilaluinya dan di bawah gaung kira-kira pukul 2.30 petang.

“Ketika kejadian, saya dan beberapa rakan dalam perjalanan ke tapak perkhemahan tidak jauh dari situ. Saya memandu kereta perlahan sahaja dan membuka tingkap kereta untuk merasai suasana sejuk di kawasan bukit.

“Secara tiba-tiba saya terde­ngar seperti bunyi rekahan yang kuat dan menggegarkan. Kami berhentikan kereta dan keluar meninjau kawasan tersebut dan terdengar deruan air yang kuat dari kawasan bawah gaung di tebing jalan,” katanya di sini semalam.

Katanya, seterusnya dia mendapati permukaan tar jalan me­ngalami rekahan yang semakin lebar.

“Saya terus hubungi rakan yang bekerja di Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan juga Penghulu Mukim Siong bagi memaklumkan hal tersebut untuk cepat bertindak. Dalam masa setengah jam mereka datang untuk bertindak meletakkan papan tanda amaran bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Ketika hubungi rakan-rakan untuk minta bantuan itu, tiba-tiba berlaku lagi pergerakan tanah yang besar di bawah gaung, kami lihat pokok-pokok besar dan sekitarnya sedikit demi sedikit seolah-olah tenggelam dan runtuhan di tebing jalan raya itu terus berlaku,” ujarnya.

Jelasnya, rekahan pada jalan raya adalah kira-kira 15 meter dan runtuhan di bahagian bawah lebih serius.

“Di bahagian bawah gaung itu ada anak sungai yang mengalir ke Sungai Ketil,” katanya.

Penduduk Kampung Weng Dalam, Shukri Abdul Rahman, 61, berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku di situ dan ia mungkin disebabkan hujan lebat sejak akhir-akhir ini.

“Harapnya rekahan itu tidak merebak ke kawasan lain,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI