PETALING JAYA – Seorang anggota tentera sempat meninggalkan nota seakan-akan petanda untuk ‘pergi’ buat selamanya-lamanya sebelum maut akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Naa Zamm yang merupakan kakak kepada anggota tentera, Muhammad Kamaruzzaman Zamahari, 20.
Menurut kakaknya, adik bongsunya itu meninggalkan nota ‘malaikat memanggilmu’ pada sebiji botol kaca yang diijumpai dalam biliknya.
Selain gambar botol tersebut, kakanya juga memuat naik gambar adiknya yang pada ketika itu sedang menjalani latihan.
“Tulisan terakhir Allahyarham sebelum lapor cuti hujung minggu tiga hari. Macam dia tahu dia nak pergi. Botol itu ditinggalkan dalam bilik.
“Gambar terakhir dia semasa latihan. Kacak muka kau dik. Allah sayang kau, Dia pinjamkan hanya 20 tahun sahaja. Walaupun tak kuat, kaki akan cuba reda dengan kesan yang kau tinggalkan,” tulisnya.
Tambah Naa Zamm, adiknya itu seorang yang soleh, baik hati, pemurah, kuat menyakat dan paling manja dengan ibu bapa serta adik beradik yang lain.
Sementara itu, Naa Zamm berkata urusan pengebumian adiknya yang berlangsung kelmarin di kampung yang terletak di Kuching, Sarawak berjalan dengan mudah dan lancar.
Jelasnya, Allahyarham sememangnya merancang untuk pulang ke kediaman keluarga pada bulan ini namun hasratnya tidak tercapai apabila ‘kembali’ kepada pencipta untuk selamanya.
“Kau ‘pergi’ dalam keadaan muka yang tenang seolah sedang tidur. Ramai kawan-kawan kau datang ziarah.
“Semoga tenang di alam abadi. Allah lebih sayang kau dan semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Terdahulu, laman Facebook rasmi, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja memaklumkan tiga anggota mereka meninggal dunia pada 12 Oktober lalu.
Susulan daripada itu, Pegawai Memerintah serta seluruh warga 1 RAMD mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Pbt Muhammad Faizal Firdaus dan Pbt Muhammad Kamaruzzaman Zamahari yang telah kembali ke rahmatullah. – KOSMO! ONLINE