fbpx

Saya `check’ fail kelulusan diberi sebelum saya jadi Perdana Menteri – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kelulusan kontrak lumayan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

Menurut Anwar, semakan beliau terhadap fail berkaitan mendapati memang benar kelulusan tersebut berlaku, tetapi ia diluluskan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Saya nak beritahu kelulusan kepada syarikat itu semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu Farhash belum jadi anggota syarikat tersebut. Ini betul ada rekod. Ini bukan soal politik. Jadi tiada kena mengena dengan Farhash.

“Saya `check’ fail memang betul diluluskan pada tahun 2022, sebelum saya jadi Perdana Menteri dan Menteri kewangan, tetapi untuk teruskan kaitkan kerana dia pernah jadi staf saya kurang adil.

“Saya percaya jawapan saya ini jelas, bagaimanapun andai kata ada maklumat yang jelas melibatkan sesiapa pun termasuk Farhash dalam kes mana-mana sila lapor dan saya pastikan SPRM tidak tutup.,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) sama ada kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM.

Terdahulu, Anwar berkata, Bloomberg telah membuat dua tohmahan berbahaya terhadap Malaysia termasuk yang melibatkan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berhubunga kasino baharu.

Menurut beliau, fitnah itu sangat keterlaluan sedangkan perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan Jemaah Menteri atau Yang di-Pertuan Agong.

“Yang kedua laporan pada 26 September lalu tentang arahan (Perdana Menteri) kepada SPRM. Setakat ini tindakan perundangan sedang diteliti. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan dan mengambil beberapa tindakan termasuk memanggil Bloomber.

“Kerana dalam siasatan PDRM, saya serahkan kepada PDRM menyiasat dan untuk Peguam Negara mengambil tindakan yang sesuai. SPRM sendiri telah buat kenyataan tegas menafikan tohmahan tersebut.

“Apakah akan ada tindakan? Tunggu laporan PDRM dan sekiranya didapati kesalahan yang nyata, itu keputusan peguam negara untuk mendakwa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI