AMPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan radius hakisan tanah meluas sekiranya hujan lebat berterusan berlaku di Jalan E6, Taman Melawati, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya akan mengambil langkah awal memasang kanvas kalis air untuk menutup runtuhan tersebut.
Katanya, pemasangan kanvas tersebut akan mengurangkan risiko pergerakan tanah susulan berlaku.
“Sehubungan itu, kanvas plastik akan dipasangkan secepat yang mungkin bagi mengurangkan pergerakan tanah, dijangka akan disiapkan sepenuhnya hari ini juga.
“Kesemua penduduk di Jalan E6 telah dinasihatkan tidak bermalam di kediaman mereka buat sementara waktu sehingga dimaklumkan semula,” katanya pada sidang akhbar, sini, hari ini.
KataMohd. Azam, seramai 33 individu terdiri daripada 11 keluarga yang terlibat dengan nahas telah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 1, Majlis Pembandaran Ampang Jaya, di sini.
“Semakan mendapati masih terdapat pergerakan tanah di lokasi tersebut dan setakat ini hanya penduduk di Jalan E6 sahaja terjejas.
Sementara itu, Ketua Zon 4 JBPM Selangor Penguasa Kanan Bomba 1 Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, kerja-kerja pembersihan di lokasi sudah hampir 80 peratus.
Katanya, selain kerja pembersihan, pihaknya turut membersihkan kawasan longkang yang dilapoekan tersumbat.
“Kita kesan ada kayu dan batu di dalam longkang yang menyebabkan pergerakan tanah, kita kurangkan beban pada longkang itu dengan melencongkan menggunakan pam mudah alih.
“Tindakan sama masih diteruskan bagi mengurangkan tekanan longkang tersumbat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.