KUALA LUMPUR – Malaysia akan menegur dan membantah sekiranya perairan negara digunakan oleh mana-mana negara sebagai laluan pertahanan tanpa izin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu sempadan itu namun tidak menjejaskan hubungan akrab diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia.
“Malaysia punya isu dengan semua negara-negara jiran Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan brunei umpamanya.
“Sebab itu kita kurang bersetuju apabila permasalah pertelingkahan sempadan ini hanya dirujuk kepada satu negara umpamanya China,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) berhubung isu Laut China Selatan.
Anwar berkata, Malaysia tidak pernah berganjak pendirian berhubung kawasan milik Malaysia termasuk kerja-kerja gali minyak oleh Petronas di kawasan Kasawari yang diteruskan.
Menurutnya, isu itu pernah dibangkitkan oleh China tetapi Petronas meneruskannya, namun Malaysia tidak pernah menutup ruang untuk berbincang.
“Sebarang isu sempadan yang berbangkit akan diselesai mengikut kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya.
Sementara itu, katanya, keistimewaan ASEAN 2025 yang dipengerusikan Malaysia adalah akan melibatkan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
“Semua acara akan diatur di semua negeri, malah saya juga telah putuskan beberapa negeri umpamanya Perlis dan Kelantan tidak mencukupi untuk jadi penganjur, kita akan cuba atur sekurang-kurangnya kunjungan ke negeri-negeri tersebut supaya tidak ada negeri tertinggal.
“Seluruh fokus perbincangan kita adalah untuk menjadikan ini ruang terbaik untuk perkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE