fbpx

Malaysia, Brunei kukuh kerjasama dalam pelbagai bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim (kanan) bersama Sultan Hassanal Bolkiah. FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR.

PETALING JAYA – Pertalian erat antara Malaysia dan Brunei diyakini akan terus mengeratkan rangkaian kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas selesai lawatan negara selama tiga hari ke Bandar Seri Begawan, Brunei sejak kelmarin (Ahad).

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda bertitah hubungan akrab Diraja Malaysia dan Brunei bukan sahaja unik, malah turut kekal teguh di bawah rumpun Melayu serta Islam.

Yang di-Pertuan Agong juga mendoakan hubungan persahabatan serta persaudaraan Malaysia dan Brunei yang terjalin erat lebih 40 tahun akan terus diperkukuhkan.

“Hubungan mesra dan rapat antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dua negara.

“Hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama di antara dua Raja Melayu itu cukup terserlah, apabila Paduka Seri Baginda Sultan Brunei berkenan memandu sendiri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari Empire Brunei ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada hari ini (15 Oktober),”titah baginda.

Turut berangkat dalam lawatan itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Sultan Brunei menerima kunjungan baginda berdua serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan.

Ketika berangkat pulang hari ini, Seri Paduka Baginda melintasi Barisan Pasukan Kawalan Kehormat Setempat Tentera Darat Diraja Brunei sebelum berlepas bersama pesawat khas pada pukul 9.30 pagi.

Brunei merupakan negara ketiga dikunjungi Seri Paduka Baginda untuk lawatan negara selepas Singapura dan China sejak menaiki taktha sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI