fbpx

Lelaki didakwa pukul, ugut bunuh ibu kerana nyanyuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul kepala dan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya yang berusia 75 tahun bulan lalu.

Tertuduh, Tai Siew Wong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistet Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Tertuduh didakwa mencederakan ibunya, Bong Ngik Lan dengan cara memukul belakang kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan tangan.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengeluarkan ugutan.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah rumah beralamat di Rumah Awam Bertam Ulu di sini pada 26 September lalu.

Difahamkan, tertuduh memukul dan mengugut mangsa selepas berlaku perselisihan faham gara-gara warga emas itu mengalami masalah ingatan atau pelupa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Nigel Tai bagaimanapun merayu satu jaminan yang rendah diberikan dengan alasan anak gumanya bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM1,800 dan perlu menanggung ibu yang sakit tua.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Sharda membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu dan menetapkan tarikh 28 November ini untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI