WASHINGTON – Seorang lelaki mendakwa bahawa dia mengetahui bagaimana Bigfoot berbunyi setelah berjaya merakamnya di sebuah hutan di Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita Daily Star semalam.
Charlie Raymond, 57, telah menghabiskan masa selama tiga dekad untuk mencari makhluk berbulu yang sukar difahami di negeri asalnya, Kentucky.
Dia begitu berminat untuk memburu makhluk gergasi itu dan menubuhkan Pertubuhan Penyelidikan Bigfoot selepas menamatkan pengajian di kolej.
Raymond juga telah menyusun sendiri rakaman bunyi misteri yang dia anggap sebagai Bigfoot di Hutan Pine Ridge berhampiran tempat tinggalnya.
Dalam salah satu rakaman itu, bunyi kuat seperti sorakan dapat didengari.
Raymond yang berkongsikan videonya itu dengan laman berita MailOnline mendakwa bahawa bunyi tersebut sama seperti rakaman audio terkenal Bigfoot yang dirakam oleh seorang penyelidik, Ron Moorehead di Pergunungan Sierra Nevada.
“Ia adalah padanan yang tepat, dan ia bukan (bunyi) manusia,” kata Raymond. – AGENSI