fbpx

Komponen landasan Stesen Wangsa Maju, Sri Rampai sedang dibaik pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jurutera Rapid Rail sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih sistem komponen di landasan yang rosak.

PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL memaklumkan kerja-kerja baik pulih komponen landasan antara Stesen Wangsa Maju dan Sri Rampai sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail.

Rapid Rail berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 10.20 pagi itu, berpunca daripada aliran air hujan luar biasa dari kawasan sekitar dan telah memasuki landasan yang terletak di aras tanah serta merosakkan beberapa komponen di trek.

“Pihak operasi terpaksa menghentikan bekalan kuasa di kawasan terbabit bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dan baik pulih dijalankan.

“Perkhidmatan tren perantara diaktifkan di antara Stesen Gombak dan Stesen Wangsa Maju, manakala tren dari arah Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Wangsa Maju,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan sebanyak 12 buah dengan kekerapan setiap 15 minit bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan.

“Rapid Rail akan memaklumkan perkembangan status perkhidmatan pada pukul 3 petang ini. Kami berharap agar kerja-kerja baik pulih ini dapat diselesaikan sebelum waktu puncak petang,” ujarnya.

Tambahnya, kakitangan operasi dan polis bantuan tambahan telah ditempatkan di stesen berkenaan bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

“Pengumuman berterusan dibuat menerusi media sosial Rapid KL, di semua stesen dan di dalam tren untuk makluman penumpang.

“Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing serta merujuk media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat berkenaan status perkhidmatan terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI