fbpx

Hampir 500,000 suri rumah sudah daftar SKSSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim bergambar bersama penerima sumbangan di Majlis Sambutan Deepavali Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Perkeso 2024, di Pusat Komuniti Sentul Perdana. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan pendaftaran caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kini mencecah 95 peratus daripada 500,000 sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

Beliau ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 474,982 individu kini mencarum SKSSR menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 30 September lalu.

Katanya, prestasi pencapaian mencerminkan tekad kerajaan untuk menyebarluaskan perlindungan keselamatan sosial supaya turut mencakupi sektor ekonomi ihsan itu sekali gus memberi keyakinan bahawa sasaran pencarum SKSSR dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

“Fleksibiliti dalam kaedah pembayaran caruman yang boleh dibuat sama ada oleh suami, suri rumah sendiri, ahli keluarga atau pihak ketiga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kejayaan skim ini.

“Dari segi statistik sehingga 31 Ogos lalu, SKSSR meluluskan 1,480 kes tuntutan dengan melibatkan penyaluran faedah berjumlah lebih RM2.7 juta,” katanya pada ucaptama Majlis Sambutan Deepavali Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Perkeso 2024, di Pusat Komuniti Sentul Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim memaklumakn Perkeso turut menerima dana tambahan RM86.2 juta bagi menyediakan geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi inisiatif SPS Madani dan SPS Padanan Caruman.

Katanya, permohonan untuk SPS MADANI dan SPS Padanan Caruman terus dibuka hingga 31 Disember ini kepada individu daripada 20 sektor pekerjaan sendiri.

“Sehingga 4 Oktober lalu, sebanyak 697,787 individu mencarum dalam SKSPS, dengan 4,052 kes tuntutan yang diproses dan pembayaran faedah keseluruhan melebihi RM19.2 juta.

“Sambutan menggalakkan ini mencerminkan keberkesanan faedah perlindungan supaya memastikan kelangsungan pendapatan sekiranya ditimpa bencana tidak pernah dipinggirkan walaupun untuk pekerja di sektor tidak formal,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu, Kesuma menerusi Perkeso turut menyantuni 140 anak yatim dan ibu tunggal serta menyalurkan faedah kepada 14 penerima dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM118,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI