fbpx

Grand Prix Malaysia tetap diserikan pelumba ‘wildcard’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANG 15 OKTOBER 2024 - Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif bergambar selepas sidang akhbar Kerjasama Strategik Litar Antarabangsa Petronas Sepang & Tourism Selangor Sempena Tahun Melawat Selangor. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia tetap akan diserikan dengan kehadiran pelumba tempatan apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan sekurang-kurangnya dua pelumba negara akan beraksi atas tiket wildcard pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) awal bulan depan.

Ketua pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengesahkan penyertaan pelumba tempatan tersebut akan dibiayai  sebuah syarikat korporat tempatan dan pengumuman itu akan dibuat dalam tempoh terdekat sebelum GP Malaysia membuka tirai pada 1-3 November depan.

Tegas Azhan, pihaknya tidak dapat memberi butiran lebih lanjut terutama mengenai senarai nama pelumba mahupun kelas perlumbaan menjelang GP Malaysia dan berita menarik itu akan diumumkan sendiri oleh syarikat korporat tersebut.

“Akan terdapat penyertaan dalam kelas Moto3 atau Moto2 tetapi mengenai senarai pelumba negara yang mendapat tiket wildcard perlumbaan GP Malaysia hanya akan didedahkan oleh syarikat tersebut.

“Saya tak ada maklumat lanjut berkenaan siapa (pelumba) yang akan mendapat peluang itu pada tahun ini. Tapi yang saya tahu setakat ini memang ada penyertaan (menerusi) wildcard untuk pelumba negara.

“Saya difahamkan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada minggu depan atau atau minggu satu lagi. Daripada SIC memang tak ada pelumba wildcard untuk tahun ini,” katanya pada sidang media kerjasama strategik SIC dan Tourism Selangor yang turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.

Tahun lalu, Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar masing-masing meraih tiket wildcard dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.

Sementara itu, mengulas penjualan tiket untuk GP Malaysia, Syafriman mengakui ia mendapat sambutan amat menggalakkan selepas 70 hingga 80 peratus tiket telah sudah dijual.

“Kita menyasarkan 200,000 kehadiran penonton untuk tiga hari penganjuran GP Malaysia dan ketika ini penjualan tiket sudah mencecah 70 hingga 80 peratus. Sesetengah tempat sudah habis terjual manakala tiket untuk Main Granstand, K1 dan F terjual dengan cepat,” katanya.

Jelas Shafriman, antara faktor kepada penjualan tiket amat menggalakkan itu termasuklah inisiatif SIC bersama kerajaan pusat sebelum ini yang menawarkan tiket semurah RM49.90 untuk selama tiga hari perlumbaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI