PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Yasmin Hani tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila hubungan percintaan dengan aktor Alif Hadi putus di tengah jalan.
Kata Yasmin, 45, mereka mencapai kata sepakat untuk berpisah sekitar Julai lalu, namun tetap saling menjaga hubungan baik antara satu sama lain.
Malah, pelakon filem Duyung itu juga tidak menghalang Aliff daripada berhubung dengan dua anaknya biarpun mereka sudah berpisah.
“Ya memang kami sudah berpisah. Tiada apa yang dijelaskan mengenai perpisahan itu. Biarpun berpisah, saya dan tidak tetap mempunyai hubungan yang baik dan tidak bergaduh. Buat apa kami ingin berbalah atau bermasam muka. Kami tetap berbual dan saling menelefon antara satu sama lain untuk bertanya khabar.
“Memangkan hubungan Aliff dengan anak akrab, jadi saya tidak pernah menghalang mereka untuk berhubung. Dia boleh saja menghubungi anak atau berjumpa dengan mereka. Begitu juga anak-anak kalau anak-anak ingin berjumpa dengan dia.
“Saya pilih untuk tidak menghebohkan hal (berpisah) ini kerana tidak mahu khalayak memberi pandangan negatif. Cukup sekadar kami sahaja yang mengetahuinya dan diharapkan agar masyarakat dapat menghormati ruang privasi kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, Yasmin turut berasa sedih melihat bekas kekasihnya itu hadir ke Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) sendiri tanpa ditemani sesiapa.
Katanya, Aliff tidak menghubungi dia untuk bertanyakan sama ada dapat menemaninya atau tidak ke acara tersebut.
“Saya ucapkan tahniah buat Aliff kerana berjaya memenangi trofi Aktor Pembantu Filem Popular. Dia memang layak kerana saya tahu dia sudah bekerja keras.
“Selepas kemenangan itu kami ada berhubung dan saya bertanyakan kepada dia mengapa tidak mengajak saya untuk menemaninya pada malam itu. Sejujurnya saya berasa agak sedih kerana melihat dia sendiri tanpa ditemani sesiapa.
“Awalnya saya dimaklumkan ada beberapa individu yang menemani dia. Tetapi disebabkan kekangan beberapa perkara, Aliff pergi seorang diri ke ABP36. Jika dia mengajak, tentu saya akan pergi dan berada di sampingnya sewaktu dia mengambil anugerah itu,” katanya.
Sebelum ini Aliff mengesahkan hubungan mereka telah putus apabila hadir seorang diri ke acara ABP36 yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Mengakui bersedih dengan berpisahan itu, Aliff atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdul Hadi, 36, mengakui sudah boleh menerima kenyataan dan teruskan kehidupan.
Untuk rekod, Yasmin atau Yasmin Hani Ismail Richardson mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin yang juga pemain dram Blackrose pada 2015.
Mereka kemudian berpisah selepas 10 tahun berkahwin dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE