fbpx

Belanjawan 2025: Bawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tony bergambar bersama kakitangan AirAsia selepas sidang media mengenai OAG Megahubs 2024 di KLIA Terminal 2, Sepang di sini, hari ini.

SEPANG- Penyedia penerbangan tambang murah, AirAsia berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dapat menawarkan lebih banyak inisiatif bagi mempromosi Malaysia, seterusnya meningkatkan kedatangan pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak mengharapkan sebarang insentif untuk sektor penerbangan, sebaliknya berharap bajet lebih besar ditumpukan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Jelasnya, industri pelancongan merupakan penyumbang besar kepada ekonomi dan pemain industri penerbangan boleh bekerjasama dalam menjadikan Malaysia destinasi lebih menarik.

“Matlamat saya adalah untuk bekerjasama lebih dekat dengan Malaysia Airports di mana ia perlu lebih cekap dan kos rendah. Kami memerlukan mereka untuk membantu dalam pengiklanan.

“Saya tidak mencari sebarang insentif khusus dalam Belanjawan 2025, sebaliknya mahu membawa lebih ramai orang dan mengiklankan Malaysia dengan lebih hebat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan A New Dawn For Capital A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 di sini tadi.

Pada masa sama, Tony  berkata, kerajaan mempunyai banyak fokus yang perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2025 dan pemain industri harus berubah daripada mentaliti insentif dan subsidi.

Belanjawan 2025 dijangka dibentangkan pada Jumaat ini di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan jangkaan daripada pemain industri, Tony berkata, gabungan itu boleh mencapai lebih banyak manfaat menerusi kepimpinan Malaysia.

Menurutnya, tumpuan menyeluruh perlu diberikan bagi memudahkan urusan perniagaan di ASEAN yang mana syarikat yang melabur di rantau ini perlu menerima lebih faedah.

“Ini semua tentang mewujudkan persekitaran menjalankan perniagaan di ASEAN dengan lebih mudah. ​​

“Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) memberi saya keyakinan bahawa terdapat keikhlasan sebenar dalam mewujudkan pasaran di rantau ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI