PETALING JAYA – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memberi pesanan agar isu banjir tidak hanya difokuskan kepada negeri-negeri yang ditadbir di bawah parti Perikatan Nasional (PN) sahaja.
Sebaliknya, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan, Gerakan, Ong Siang Liang berkata, rakyat perlu melihat juga negeri-negeri ditadbir di bawah Pakatan Harapan (PH) yang sering gagal menangani masalah banjir.
“Pesanan kepada semua penyokong PH, jangan asyik komen negatif di negeri yang ditadbir oleh PN sahaja.
“Lihat juga negeri-negeri yang ditadbir oleh PH yang sering gagal tangani masalah banjir seperti di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu banjir kilat berlaku di ibu negara, Kuala Lumpur akibat hujan berterusan sejak awal pagi.
Siang Liang turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu banjir dengan kadar segera agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Ujarnya, DBKL perlu mempercepatkan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sistem perparitan, bagi memastikan kecekapan saliran ketika hujan lebat.
“Pagi tadi kebanyakkan jalan di Kuala Lumpur sesak akibat banjir sehingga menyebabkan adanya Ahli Parlimen tidak dapat hadir pada waktu dan persidangan dimulakan lambat.
“Perkara ini amat memalukan kerana Kuala Lumpur adalah ibu kota Malaysia,” katanya.
Tambah Siang Liang, DBKL juga dicadangkan agar bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi untuk mengeluarkan amaran cuaca tepat pada masanya, bagi membantu penduduk bersedia menghadapi cuaca buruk.
Selain itu, ujar beliau, kerajaan juga harus mendorong pembangunan bandar yang lebih lestari dengan memasukkan langkah-langkah kawalan banjir dalam perancangan bandar masa depan. – KOSMO! ONLINE