DILIHAT sentiasa ceria selain antara aktres Bollywood yang menerima bayaran tinggi, hakikatnya Alia Bhatt juga tidak terkecuali daripada pernah berdepan serangan anxiety atau tekanan melampau.
Situasi dilalui sejak anaknya, Raha dilahirkan pada November 2022. Dia menjadi terlalu bimbang tentang keselamatan si kecil sehingga enggan mendedahkan wajah puterinya.
Dalam temu bual di sebuah audio siar, isteri kepada aktor Ranbir Kapoor itu mendedahkan disahkan secara klinikal berhadapan simpton stres dan dirawat secara berkala. Akuinya, detik paling mencabar adalah ketika perlu keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan anaknya di rumah.
Semua itu satu tekanan besar buatnya.
Kata Alia, keadaan berlanjutan sehingga Raha berusia setahun namun sokongan suami dan keluarga meredakan masalahnya.
Tidak hairan selepas itu mereka berdua sedia memperkenalkan puteri comel itu kepada umum selepas keadaan semakin pulih.