fbpx

Warden asrama berkait GISBH dituduh amang seksual budak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang warden sebuah asrama rumah jagaan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang budak lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa ketika itu berusia 13 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik asrama Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal, kira-kira pukul 12 tengah malam, 11 Julai 2022.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain.

Dalam prosiding, Naqeiya memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai penghantar barang dan tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap selain masih menjaga ibu bapanya.

Hakim Zulhazmi kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 14 November depan sebagai sebutan semula kes yang dihadapi tertuduh.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan empat premis termasuk rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISBH di sekitar Seberang Perai diserbu pihak berkuasa pada 21 September lalu.

Premis yang diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-kanak) Kubang Semang, Kedai Kek dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart di Bandar Perda.

Dalam serbuan itu, sebanyak enam buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan Ar-Arqam telah dirampas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI