PARIS – Bekas pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel memberi gambaran lebih berminat untuk mengemudi pasukan kebangsaan England berbanding Manchester United yang dikuat dikaitkan dengannya sejak beberapa minggu lalu.
Persatuan Bola Sepak (FA) England ketika ini masih berusaha mencari pengganti Gareth Southgate yang meletakkan jawatan pada Julai lalu dan rundingan lanjut bersama Tuchel dilaporkan masih berjalan.
Ketika ini The Three Lions masih dikendalikan oleh pengurus interim, Lee Carsley sehingga aksi antarabangsa pada November ini dan turut berada dalam senarai calon untuk diangkat sebagai pengendali tetap.
Bagaimanapun, kekalahan kepada Greece pada Jumaat lalu menyebabkan Carsley berdepan kritikan hebat terutama mengenai pemilihan pemain dan komennya selepas perlawanan yang kurang menyenangkan.
Laporan di Jerman mendedahkan bahawa Tuchel buat pertama kalinya kuat dikaitkan untuk menyandang jawatan tersebut selepas FA England membuat keputusan untuk mengadakan rundingan lanjutan.
Malah, dalam sesi temu bual terbaharu bersama Tuchel, beliau mengakui tidak menolak sekiranya diberikan peluang, namun enggan memberikan respons lebih lanjut.
“Kenapa tidak (mengemudi pasukan kebangsaan). Saya berminat, tetapi saya tidak mahu memberikan komen lebih lanjut ketika ini.
“Saya akan mempertimbangkan jika mendapat tawaran daripada pasukan yang tepat terutama jika pasukan itu mampu meraih trofi seperti Piala Dunia dan Euro. Saya nampak potensi yang ada dalam pasukan England,” jelasnya. – AGENSI