Susulan sambutan luar biasa konsert Destiny of Music yang buat julung kali diadakan Jun lalu, syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment selaku penganjur bersama dengan berbesar hati membawakan Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Kembali lebih bertenaga dengan persembahan pentas yang pastinya memukau, konsert berkenaan bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.
Mengulas mengenai konsert Destiny of Music 2.0, Burhan Ahmad selaku Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project yang juga merupakan penganjur konsert berkata, pihak terpanggil untuk menganjurkan edisi kedua selepas mendapat maklum balas hebat daripada penonton.
“Kejayaan dan penerimaan positif yang diterima sewaktu penganjuran edisi yang pertama baru-baru ini telah mendorong kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert-konsert sebegini.
“Selain dapat mengukuhkan lagi kedudukan B De Paris Project dalam industri hiburan tempatan, penganjuran ini juga mampu memartabatkan serta memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan menerusi platform yang ada sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai penganjur, mereka juga amat berbesar hati di atas kesudian barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page yang sudi bekerjasama dengan kami untuk menjayakan konsert kali ini.
“Oleh sebab Konsert Destiny of Music 2.0 merupakan kesinambungan daripada konsert yang diadakan sebelum ini, kami sepasukan telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini jauh lebih baik daripada yang pernah dianjurkan.
“Kami berharap konsert ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekaligus membekaskan impak yang mendalam,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan konsert Destiny of Music 2.0 akan mula dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) bermula hari ini, 10 Oktober 2024 menerusi platform rasmi ticket2u: https://www.ticket2u.com.my/