fbpx

[VIDEO] Tabib Adam buang saka diwarta sesat kerana seru makhluk halus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERUBATAN Tabib Adam diwartakan sesat susulan rawatan dilakukan dikesan menggunakan amalan meragukan termasuk menyeru makhluk halus.

MELAKA – Pengamal perubatan dikenali sebagai Tabib Adam yang dipercayai menerima kira-kira 50 pesakit setiap hari di pusat perubatannya di Masjid Tanah, Alor Gajah bagi melakukan pelbagai rawatan termasuk membuang saka diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu telah ditetapkan pada 12 September lalu selepas hasil kajian dan laporan dibentangkan dalam muzakarah mendapati rawatan yang dilakukan di pusat tersebut mempunyai elemen keraguan termasuk menyeru makhluk halus.

Ujarnya, susulan itu pihaknya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu.

“Kita telah membuat sesi wawancara dengan mereka secara bersemuka dan laporan-laporan itu kita lihat ada keraguan dalam perubatan tersebut seperti menyeru atau memanggil makhluk-makhluk lain (halus).

“Perubatan diamalkan juga mempunyai elemen pengeras, amalan wirid dan perkara yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk dari segi bacaan-bacaannya. Kita khuatir ada elemen mistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Tambahnya, susulan itu pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu ghairah atau cepat mempercayai kepada rawatan alternatif ditawarkan sesetengah pihak yang menggunakan nama ‘Perubatan Islam’.

“Kepada pesakit-pesakit atau pun yang mendapatkan khidmat perubatan dan terpedaya, saya minta berhati-hati. Mereka yang sakit memanglah nak cari ubat untuk sihat tetapi pastikan ikhtiar itu tidak terkait dengan perkara-perkara khuarafat dan tersesat.

“Carilah rawatan di peringkat hospital dahulu kerana kita khuatir sebenarnya (seseorang itu) menghidap penyakit lain tetapi lebih percaya kepada rawatan seperti ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut Halim berkata, pewartaan Tabib Adam itu menjadikan jumlah terkini ajaran sesat diwartakan di Melaka adalah sebanyak 29 ajaran.

“Pada tahun ini sahaja kita telah mewartakan empat ajaran sebagai sesat iaitu ajaran dan fahaman Irwan Bin Alias ajaran Suhaini Bin Mohammad (Si Hulk), amalan dan kaedah perubatan Adam Isa (Tabib Adam) dan risalah bab kesucian oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah),” ujarnya.

Kosmo! pada Jun tahun lalu melaporkan, kepercayaan dan ketaksuban orang ramai terhadap rawatan alternatif membuang makhlus halus atau saka dilihat menjadi-jadi sehingga memberi pulangan mewah kepada si perawat.

Risikan Kosmo! di sebuah pusat rawatan di Masjid Tanah, Alor Gajah yang sebelum telah dilaporkan sedang dipantau oleh agensi agama kerana disyaki menyeleweng daripada akidah Islam terus dikunjungi orang ramai.

Mengikut sumber dipercayai, pusat perubatan itu telah aktif sejak empat tahun lalu dan mengenakan bayaran sekitar RM250 seorang untuk pelbagai rawatan termasuk sihir (RM50) dan ilmu pemisah (RM150).

Ketaksuban orang ramai itu dipercayai memberikan sumber pendapatan lumayan kepada pengamal terbabit sehingga memiliki aset bernilai jutaan ringgit.

Tinjauan Kosmo! di platform media sosial termasuk TikTok mendapati akaun yang menggunakan nama Pusat Terapi Tabib Adam itu masih aktif mempromosikan rawatan dan membuat hantaran berkenaan dengan gangguan-gangguan jin termasuk hantu raya, saka harimau dan saka ular. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI