fbpx

Sze Fei-Izzuddin bakal diserap Program RTG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI dan Izzuddin berjaya menjuarai Terbuka Arctic selepas menewaskan Astrup-Ramsussen pada final semalam. - AFP

BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani bakal diserap dalam program Road to Gold (RTG) susulan prestasi cemerlang mereka di pentas antarabangsa ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa jawatankuasa RTG akan mempertimbangkan penyertaan pasangan itu dalam mesyuarat akan datang selepas memenuhi kriteria ditetapkan termasuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Semalam, Sze Fei-Izzuddin merangkul kejuaraan ketiga mereka selepas menang 15-21, 21-15, 21-19 ke atas beregu No. 2 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen pada final Terbuka Arctic.

“Prestasi Sze Fei dan Izzuddin semakin meningkat dan tahniah diucapkan kepada mereka. Saya berharap mereka mampu mengekalkan konsistensi ini.

“Syarat program RTG adalah berada dalam ranking 10 terbaik dunia dan saya melihat peluang besar untuk mereka diserapkan dalam RTG,” katanya dalam sidang media Program Rakan Muda: Skills For Life Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang hari ini.

Dalam pada itu, Hannah turut menjelaskan program dilaksanakan semalam adalah kerjasama antara Bahagian Pembangunan Rakan Muda dan Jabatan Penjara yang bertujuan memberi latihan kemahiran dalam bidang perkhidmatan kedi kepada 20 peserta lelaki di Penjara Kajang.

“Saya percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah daripada Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), para peserta akan mendapat latihan yang berkualiti sejajar dengan pengalaman mereka.

“Dengan pendedahan sebegini, ia dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam sektor industri golf tempatan,” katanya.

Latihan dari 14 hingga 18 Oktober ini dengan peserta berpeluang menyambung pengajian dalam Program Kursus Perkhidmatan Kedi sepenuh masa selama enam bulan di AKBG. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI