NILAI – Ahli jawatankuasa (AJK) surau di seluruh negara perlu menjadikan platform sukan sebagai salah satu kaedah mencari dana sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan jemaah.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, salah satu usaha ialah menganjurkan pertandingan amal golf seperti yang dilakukan oleh AJK Surau Garden Residence (SGR), Cyberjaya, Selangor hingga dapat mengumpul lebih RM40,000.
Katanya, pihaknya sangat menyokong inisiatif sedemikian sebagai usaha membantu pembinaan atau ubah suai rumah ibadat.
“Kita memang sokong bila ada pihak yang menggunakan sukan sebagai salah satu cara untuk dapatkan sumbangan kepada masyarakat dalam pembinaan sebuah rumah ibadat seperti surau.
“Seperti yang kita tahu, surau yang bukan hanya tempat ibadah, sebab ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk komuniti,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan amal ‘Chip In for Charity’ di Kota Seriemas Golf & Country Club di sini semalam.
Lebih 100 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang turut diselitkan dengan jualan amal berupa payung khas keluaran surau berkenaan. Kejohanan itu turut menawarkan hadiah Hole-in One berupa sebuah motosikal.
Hasil daripada kutipan dana itu akan digunakan bagi menambah baik struktur bangunan sekali gus persediaan menaik taraf premis itu sebagai surau solat Jumaat.
Adam yang juga penaung program amal tersebut berharap lebih ramai kariah mengambil inspirasi daripada penganjuran program amal tersebut untuk sebarang pembangunan di surau masing-masing.
“Bukan mudah untuk anjurkan program ini di sebalik keterbatasan yang ada antaranya daripada segi kos dan penajaan.
“Jadi, kita harap boleh lihat lebih banyak pihak lain yang gunakan cara yang sama. Mungkin sukan yang berbeza pun tak apa, tapi yang pasti menggunakan sukan sebagai salah satu cara untuk kita bagi balik kepada masyarakat,” ujarnya.
Pengerusi Surau SGR, Datuk Abdul Karim Mustafa dipetik sebagai berkata, itu bukan kali pertama pihaknya melaksanakan program amal sedemikian.
Malah katanya, mereka sudah mula aktif menganjurkan beberapa aktiviti serupa sejak 2020.
Ujar beliau, selain mengutip dana pembangunan, program sedemikian juga dapat mengeratkan silaturahim kariah melalui sukan. – KOSMO! ONLINE