PETALING JAYA – Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan serangan Israel ke atas Ibu Pejabat Pasukan Interim PBB di Naquora, Lebanon, baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan terus memantau dengan dekat perkembangan terkini di negara berkenaan.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Kementerian Luar Negeri akan berhubung dengan PBB melalui saluran yang ditetapkan.
“Ia adalah bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan bertugas selari
dengan mandat yang diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, rejim zionis Israel melancarkan serangan ke atas Ibu Pejabat UNIFIL pada 10 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang berpengkalan di Tibnin dan Marakah di Lebanon dilaporkan selamat.
Mohamed Khaled berkata, penglibatan pasukan Malbatt 850-11 adalah di bawah panji-panji dan mandat PBB manakala tugas mereka tertakluk kepada protokol dan peraturan UNIFIL.
Menurutnya, Israel mesti menghormati mandat tersebut dan tidak mengheret UNIFIL ke kancah konflik Israel – Hezbollah.
“Serangan ke atas anggota UNIFIL adalah serangan terhadap PBB dan masyarakat dunia.
“Ia adalah perbuatan yang melanggar segala norma undang-undang antarabangsa dan sangat tidak bertamadun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE