fbpx

Semangat luar biasa kunci kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain Terengganu meraikan kejayaan menjuarai Piala Tun Abdul Razak 2024 selepas menewaskan Johor kelmarin. - MHC

SKUAD hoki lelaki Terengganu mencipta sejarah apabila berjaya menjulang Piala Tun Abdul Razak 2024 sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan tahun sejak kali terakhir mereka memenangi trofi tersebut pada 2016.

Dalam aksi final yang berlangsung sengit di Stadium Taman Daya, Johor Bahru kelmarin, Terengganu menewaskan Johor dengan kemenangan tipis 2-1 dengan menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dari awal hingga wisel penamat.

Ia adalah pencapaian terbesar buat jurulatih Terengganu, Asrul Hisyam Ahmad @ Hamid dan menyifatkan kemenangan itu hasil kerja keras pemain termasuk sokongan daripada tonggak senior yang menjadi tulang belakang pasukan.

“Alhamdulillah, kemenangan ini sangat bermakna buat kami. Kami datang ke Johor dengan satu misi jelas membawa pulang kejuaraan. Meskipun kemenangan 2-1 ini tipis, ia membuktikan semangat juang yang tidak pernah pudar dalam pasukan kami,” ujar Asrul.

Meskipun Johor membuka jaringan terlebih dahulu, Terengganu bangkit penuh semangat dan memberikan tentangan sengit hingga ke minit terakhir yang akhirnya menjadi faktor penentu kejayaan pasukan.

Asrul turut mengakui bahawa pasukan menghadapi cabaran dari segi kecederaan beberapa pemain utama, namun semangat yang tinggi dan sokongan padu di kalangan rakan sepasukan berjaya mengatasi segala rintangan.

“Kami tahu Johor akan berikan tentangan hebat dan mereka memang tidak mengecewakan. Namun, di penghujungnya, usaha gigih kami membuahkan hasil dan Alhamdulillah, kami membawa pulang trofi ke Terengganu,” tambahnya.

Kini, Terengganu bersiap sedia untuk mengalihkan fokus kepada Liga Hoki Malaysia (MHL) yang dijadualkan bermula hujung tahun ini dengan momentum kemenangan akan diteruskan bagi memastikan skuad tetap berada pada prestasi terbaik.

“Kebanyakan pemain kami akan beraksi dalam liga sama ada dengan kelab atau negeri. Tetapi majoriti adalah anak jati Terengganu yang komited dengan pasukan dan saya yakin kombinasi pemain berpengalaman dan muda akan terus memberi kelebihan kepada kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI