fbpx

‘Sekufu bukan jaminan bahagia, isteri tetap di bawah suami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA Sandha kini bahagia bersama Aidil yang dinikahi sejak 2019.

SHAH ALAM – Pelakon Fasha Sandha percaya urusan mencari pasangan hidup yang sekufu bukan satu keutamaan dan penentu kebahagiaan dalam sesebuah institusi perkahwinan.

Fasha berkata, pasangan yang setaraf dari segi latar belakang, status atau harta tidak menjanjikan kebahagiaan sebaliknya seorang isteri harus menghormati suami meski lebih berharta atau berjaya.

“Secara peribadi, sekufu atau tidak itu sebenarnya jatuh nombor dua kerana apabila sudah menjadi berkahwin, kedudukan isteri adalah di bawah suami walaupun lebih kaya, berharta dan berjaya.

“Kedudukan suami tetap berada nombor satu. Saya akan sentiasa pegang konsep Aidil adalah suami dan perlu sentiasa menghormatinya.

“Memang adakalanya tidak sependapat tetapi kami berdua cuba cari jalan terbaik untuk selesaikan sesuatu isu dan semua itu kami lakukan demi anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fasha menolak dakwaan bahawa kehidupan rumah tangga yang dijalani oleh pasangan selebriti cukup berat ditambah dengan lambakan kes perceraian yang dilaporkan sejak kebelakangan ni.

“Sebenarnya bukan selebriti sahaja (bercerai), ramai orang di luar sana turut melalui perkara sama. Cuma kisah selebriti ini lebih mendapat perhatian dan menjadi bahan berita.

“Saya sentiasa menganggap perkahwinan ini adalah satu pinjaman yang kita sendiri jangka hayatnya sampai bila? Tapi dalam waktu sama, saya nak pinjaman diberikan ini berkekalan hingga akhir hayat.

“Kalau pinjaman ini hanya sementara tiada yang mampu saya lakukan kerana semua itu sudah ditakdirkan. Namun apa yang penting kita sebagai suami dan isteri perlu buat yang terbaik.

“Orang luar juga tidak boleh cepat menghakimi sesuatu perhubungan itu. Saya rasa tak wajar untuk kita memandai-mandai nak beri pendapat selagi tidak melaluinya sendiri,” katanya lagi,

Untuk rekod, Fasha pernah berkahwin dengan usahawan Rizal Ashram atau Jejai pada 27 April 2012 namun mereka bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemyma, 9 tahun.

Fasha kemudiannya bertemu jodoh dengan Aidil pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aisha Amaira yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI