PETALING JAYA – Stesen radio Era FM menghadiahkan beberapa pasang kasut baharu buat kanak-kanak yang dikenali sebagai Arman susulan menjadi mangsa buli netizen gara-gara memakai kasut sukan jenama tiruan.
Menerusi siaran langsung aplikasi TikTok yang telah ditonton lebih 16,000 pengguna dan mendapat 10 juta tanda suka, barisan penyampai radio Era telah membawa Arman sekeluarga ke sebuah kedai kasut jenama popular.
Dalam video tersebut Arman turut meluahkan rasa syukur kerana tidak menyangka video yang dimuat naik mendapat perhatian ramai.
Katanya, meskipun video memakai kasut tiruan tersebut dikritik, namun Arman mengambil pendekatan untuk memaafkan individu yang menghinanya.
“Saya nak ucapkan terima kasih semua yang menyokong saya. Saya mendoakan semoga semua sihat dan dimurahkan rezeki.
“Saya maafkan mereka. Harap jangan berlaku dekat orang lain,” katanya.
Sementara itu, barisan penyampai radio Era iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin juga tidak menyokong keputusan Arman memaafkan netizen yang mengutuknya.
Kata Radin, pengguna media sosial seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau meninggalkan komen yang akan memberi kesan kepada individu terbabit.
“Saya mengharapkan agar perkara ini tidak berulang. Sebaiknya kita menjaga tutur kata kerana kita tidak tahu apa yang orang itu lalui.
“Saya juga sangat berbangga dengan sikap Arman yang memaafkan mereka. Arman kanak-kanak yang rendah diri.
“Paling penting dia lebih mengutamakan kedua orang tuanya berbanding orang lain. Ingat, tidak perlu kaya untuk membahagiakan orang lain,” katanya.
Selain mendapat beberapa kasut baharu, Arman yang hadir bersama ibu bapa dan adiknya itu turut mendapat kejutan kek hari jadi.
Difahamkan, Arman sekeluarga turut menerima sumbangan wang ringgit daripada penyampai Era.
Pada masa sama, Arman sekeluarga turut diundang sebagai tetamu jemputan segmen 3 Pagi Era.
Terdahulu Arman memuat naik video memakai kasut baharunya dengan penuh teruja ke TikTok.
Namun, kegembiraannya tidak bertahan lama apabila ada netizen mengkritik kasut tersebut dan mengatakan hadiah tersebut produk tiruan selain memintanya mendedahkan harga sebenar.
Setelah didesak Arman kemudian mendedahkan hal sebenar manakala ibunya juga mengakui membeli kasut itu pada harga RM80 termasuk bayaran pos. – KOSMO! ONLINE