KUALA LUMPUR – Kejayaan beregu lelaki remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai merangkul gelaran remaja dunia adalah hasil daripada persiapan rapi serta latihan intensif yang disusun teliti oleh barisan kejurulatihan negara.
Tidak hanya bersandarkan bakat tetapi beregu lelaki negara tersebut telah menjalani pelan latihan yang ketat sejak beberapa bulan sebelum berangkat ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China.
Hasilnya, beregu muda negara itu berjaya merobohkan ‘Tembok Besar’ terutama menundukkan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dengan kemenangan 21-18, 15-21, 21-18 dalam tempoh 65 minit.
Hasil kemenangan tersebut, gandingan remaja tersebut menamatkan kemarau 13 tahun dalam acara beregu selepas kali terakhir pemain negara menjuarai gelaran tersebut menerusi Nelson Heg-Teo Ee Yi pada 2011.
Menurut jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang, Khai Xing-Aaron telah menjalani pelan latihan yang ketat sejak beberapa bulan sebelum kejohanan termasuk sesi latihan bersama skuad senior negara.
“Persiapan mereka bukan hanya terhad kepada latihan di gelanggang tetapi juga melibatkan aspek mental dan fizikal. Mereka dilatih bersama skuad senior untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya.
Sebagai rekod, sejak kejohanan itu dipertandingkan pada 1992, skuad remaja negara berjaya meraih tujuh gelaran bermula dengan gandingan Jeremy Gan-Chan Chong Ming pada edisi 1996.
Sebelum itu, hasrat beregu wanita negara untuk melakar sejarah baharu bergelar juara tidak kesampaian selepas tewas di pentas final.
Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi tewas kepada pasangan Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki straight set 17-21, 17-21 dalam tempoh 43 minit. – KOSMO! ONLINE