ALOR SETAR – Pendakwah tersohor, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli beranggapan polemik isu syeikhana selesai susulan pertemuannya dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) semalam.
Syeikh Muhd. Zainul Asri yang juga pengasas Pondok Darsa Kuala Nerang itu berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan insiden yang sama tidak berulang melalui pematuhan nasihat daripada jabatan terlibat.
“Berlaku pertemuan antara saya dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah. JHEAIK menjalankan amanah dan tugas sebagai pemantau isu-isu agama di seluruh negeri. Dan di pihak saya, kami menerima tunjuk nasihat dipandu, Insya-Allah pihak saya dan Darsa akan lebih prihatin terhadap isu-isu berkaitan.
“Kami akan melakukan pemantauan yang lebih dan akan membuat rombakan serta perubahan ke arah lebih baik demi masyarakat Islam dan juga ummah seterusnya. Jadi, dengan perjumpaan dengan JHEAIK saya rasa polemik selesai. Insya-Allah, kita berazam untuk patuhi dan menjaga keharmonian agama moga InsyaAllah kita dirahmati Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran video berdurasi lebih seminit di akaun media sosialnya, malam tadi.
Semalam, JHEAIK memberi teguran kepada pendakwah tersebut dalam satu pertemuan berikutan penularan sebuah video di media sosial yang didakwa memujanya secara keterlaluan.
Pengarah JHEAIK, Datuk Abd. Ghani Zainudin berkata, pendakwah terbabit juga mengakui kesilapan yang berlaku dan sedia menerima teguran tersebut selain bersedia untuk menerima tindakan susulan daripada JHEAIK.
Akhbar ini baru-baru ini menyiarkan tentang penularan satu hantaran memaparkan sekumpulan pelajar berqasidah memuja pendakwah tersebut dalam satu majlis di media sosial sejak beberapa hari lepas.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengeluarkan kenyataan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyediakan laporan serta membawa perkara itu kepada pihak terlibat. – KOSMO! ONLINE