IPOH – Penjenayah yang terbunuh selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Slim Lama dekat Tanjung Malim pagi tadi, dikenal pasti sebagai dalang sindiket samun emas sejak enam tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai terlibat aktif dalam kumpulan penjenayah yang menyasarkan mangsa dalam kalangan pemborong emas.
Katanya, semakan mendapati kumpulan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes samun di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak dan Negeri Sembilan dengan anggaran kerugian RM34.2 juta
“Kejadian terbaru membabitkan sindiket ini adalah samun pembekal emas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu melibatkan kerugian emas seberat 4.5 kilogram dianggarkan bernilai RM1.48 juta.
“Semakan mendapati, suspek warga tempatan itu merupakan antara dalang utama kumpulan penjenayah tersebut. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki baki penjenayah lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, kejadian berbalas tembakan itu berlaku pada pukul 3.10 pagi apabila suspek yang memandu kereta jenis Nissan Almera enggan berhenti dan melepaskan tembakan ke arah polis.
Katanya, bertindak untuk mempertahankan diri, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan dan telah mengenai suspek.
“Setelah keadaan selamat, pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati suspek berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Semakan mendapati suspek memiliki 11 rekod lampau bersabit kes jenayah. Pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki lelaki itu menemukan beberapa senjata termasuk sepucuk pistol, kelopak pistol, tiga butir kelongsong peluru, 11 butir peluru dan dua bilah parang,” katanya.- KOSMO! ONLINE