KUALA KRAI – Hampir keseluruhan Pasar Besar Kuala Krai di sini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, kejadian itu memusnahkan 80 peratus bahagian pasar tersebut, namun tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 1.21 pagi sebelum 25 anggota bersama lima jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 2.06 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.42 pagi.
“Operasi tamat kira-kira 5.17 pagi. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE