fbpx

Minggu orientasi UKM meriah, catat rekod MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. EKHWAN (tengah) menunjukkan sijil MBOR yang diperoleh ketika program Megafit Batik@UKM.

MINGGU orientasi pelajar baharu tidak asing lagi bagi semua institusi pendidikan.

Tujuan utama orientasi adalah untuk merapatkan silaturahim antara pelajar baharu dengan pentadbiran, memberitahu proses pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan yang disediakan di universiti atau kolej.

Bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pihak pentadbiran telah menganjurkan minggu orientasi atau dikenali sebagai Minggu Apresiasi Watan (MAW) 2024/2025 dengan cara berbeza.

Aktiviti dianjurkan mengubah paradigma orientasi dengan menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar pengenalan biasa kepada pelajar baharu.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, bermula dengan program Jejak Pewaris Watan, UKM menunjukkan tanda penghargaan kepada pelajar baharu yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan bantuan keperluan harian dan sokongan moral kepada mereka serta keluarga.

“Langkah ini memperlihatkan keprihatinan UKM terhadap persiapan pelajar baharu sebelum memulakan perjalanan akademik mereka di universiti.

“Keunikan MAW terletak pada perancangannya yang fleksibel dan inklusif, di mana aktiviti disusun secara hibrid menggabungkan kaedah dalam talian serta fizikal,” katanya.

Menurutnya, pengenalan kepada pusat universiti seperti Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Kesihatan Universiti dan Pusat Pengajian Citra dilakukan secara maya.

Ujarnya, langkah itu memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi terus dengan pusat-pusat berkenaan melalui media sosial UKM.

PARA peserta berselendang kain batik sempena aktiviti Megafit Batik@UKM.

Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, malah mengurangkan tekanan dalam minggu orientasi yang padat.

Malah, video-video rakaman interaksi bersama pelajar secara maya akan disimpan dan boleh diulang tonton sekiranya tidak memahami urusan pengajian di kampus.

Tambahnya, salah satu aktiviti dalam MAW yang mencuri tumpuan adalah kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dalam program ‘In Person with Doc Zam’.

Acara yang julung kali diadakan itu memberi peluang kepada pelajar baharu mendekati beliau dan mendengar perkongsian inspirasi serta nasihat berguna.

“Kehadiran Zambry bukan sahaja memberikan motivasi kepada pelajar tetapi menonjolkan UKM sebagai sebuah institusi yang menghargai interaksi antara pemimpin negara dan pelajar.

“Menariknya, UKM merupakan universiti pertama dikunjungi Zambry dan program ini memberi impak besar kerana pemimpin utama Kementerian Pengajian Tinggi turun ke kampus berkongsi pengalaman mereka ketika belajar,” katanya.

Zambry (tiga dari kanan) turut hadir memeriahkan MAW di Kampus UKM, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, UKM menzahirkan keprihatinan terhadap isu global dengan menganjurkan malam ‘UKM Berselawat: Demimu Palestin’.

Dalam aktiviti itu, para pelajar dan warga universiti bersama-sama menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Hal ini membuktikan bahawa UKM bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang akademik, malah individu yang peduli terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Malam Wira Watan pula memperkenalkan badan-badan beruniform di UKM seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Pasukan Siswa APM (Sispa) kepada pelajar baharu.

Acara itu memberi gambaran kepada pelajar mengenai peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti berunsur patriotisme dan disiplin, sekali gus memupuk nilai kepimpinan serta tanggungjawab.

Jelas Mohd. Ekhwan, kemuncak program adalah pencapaian besar UKM apabila berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mengadakan Megafit Batik@UKM iaitu acara senamrobik terbesar bertemakan batik yang melibatkan 5,534 peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI