fbpx

Melaka putuskan GISBH ajaran sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HALIM ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di MITC, hari ini.

MELAKA – Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Fatwa memutuskan ajaran diamalkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sebagai sesat kerana mempunyai unsur fatwa melibatkan Al-Arqam.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang telah dipengerusikannya pada 3 Oktober lalu.

“Dalam muzakarah itu telah dibentangkan laporan daripada dua agensi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan laporan penangkapan pihak berkuasa negeri, di bawah kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang situasi di Melaka.

“Kita melihat ada beberapa perkara iaitu elemen dalam GISBH mempunyai serpihan-serpihan kumpulan Al-Arqam khususnya daripada ahli keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad yang mempunyai kefahaman, amalan, wirid dan sebagainya mengikut fatwa lama (Al-Arqam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Tambahnya, keputusan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum diangkat untuk mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut beliau berkata, fatwa yang diwartakan itu nanti akan dijadikan garis panduan bagi penguatkuasaan oleh JAIM dan PDRM terhadap individu disyaki terlibat.

“Setakat ini kita belum mempunyai jumlah sebenar mereka yang terlibat, jadi fatwa ini akan jadi garis panduan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya ada elemen-elemen tadi berlaku.

“Saya dimaklumkan di peringkat pendakwaan JAIM telah ada perjalanan kes di Mahkamah Syariah (berkaitan kes GISBH),” ujarnya.

Katanya, di Melaka, ajaran Al-Arqam telah difatwakan sesat pada 11 Ogos 1994 dan diikuti Rufaqa pada 2 Ogos 2007. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI