fbpx

Haiqal enggan lepas peluang wakil Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIQAL dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Super selepas membantu UiTM menjuarai edisi ke-14 LFIPT musim ini. - FB SUKAN IPT

PETALING JAYA – Kapten skuad futsal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Haiqal Hasnor enggan mensia-siakan peluang terpilih dalam pasukan kebangsaan menghadapi saingan Piala AFF berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 4 hingga 10 November ini.

Haiqal yagn turut dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan dilihat layak mendapat panggilan pertama dalam kem skuad kebangsaan selepas membantu pasukan universitinya menjuarai Liga Super pada kempen Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi (LFIPT) edisi ke-14 yang berakhir minggu lalu.

Panggilan tersebut seakan merealisasikan impian pemain berusia 22 tahun dalam jurusan Sains Sukan di UiTM itu mengimpikan peluang untuk menyarung jersi Malaysia sejak kecil lagi.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Brunei, manakala Indonesia, Myanmar, Australia serta Kemboja bersaing di Kumpulan Piala AFF 2024 nanti.

BARISAN pemain meraikan kejayaan bergelar juara Liga Super saingan LFIPT musim ke-14 di UniSZA minggu lalu. – FB SUKAN IPT

Menariknya, ia adalah kejayaan kedua Haiqal tahun ini selepas pemain dari Johor itu menjadi nadi utama kejayaan UiTM merangkul pingat emas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (Sukipt) 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok baru-baru ini.

Naib juara kategori Liga Super pada saingan LFIPT musim ini menjadi milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala tempat ketiga dimenangi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Bagi kategori Liga Premier, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) muncul johan diikuti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka selaku pemenang tempat kedua serta ketiga.

UiTM turut merangkul kejuaraan berganda apabila menjuarai kategori Liga Wanita, mengatasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang meraih tempat kedua dan Universiti Pendidikan Sultan Idris di tempat ketiga.

Sebagai rekod, saingan LFIPT merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku Pusat Sukan Tumpuan (PST) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI