fbpx

Dewan Rakyat: Jalan Masjid India selamat untuk semua aktiviti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kawasan Jalan Masjid India disahkan selamat untuk semua bentuk aktiviti selepas mengambil kira pandangan kepakaran pelbagai agensi serta pertubuhan profesional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pandangan itu termasuk daripada Institusi Jurutera dan Pertubuhan Geoteknikal.

Kata beliau, ketetapan itu juga dibuat selepas Tindakan Audit Integriti Aset Utiliti oleh syarikat utiliti di kawasan ‘Central Business District’ termasuk Jalan Masjid India dilakukan.

“Penggunaan teknologi seperti kaedah ‘Ground Penetrating Radar’ (GPR) dan ‘Mackintosh Probe’ turut digunakan untuk menyiasat struktur tanah.

“Ujian geofizik seperti ‘Micro Gravity’ dan ‘Ground Settlement Monitoring’ juga digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu), Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berkenaan insiden di Jalan Masjid India di sini sebelum ini.

Zaliha berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula melaksanakan penyiasatan tanah mendalam menggunakan teknik ‘Deep Boring’ dan ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil.

Tambah beliau, laporan geoteknikal untuk kawasan dikenal pasti berisiko akan turut disediakan oleh jurutera bertauliah.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan melalui DBKL menyumbangkan RM30,000 untuk membantu keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi yang maut akibat tragedi berkenaan.

Kata beliau, waris juga menerima sumbangan RM10,000 daripada pihak swasta dan kerajaan tidak menghalang jika pihak keluarga mahu mengemukakan tuntutan melalui saluran perundangan terhadap agensi berkaitan.

“Ketika kejadian berlaku, Kerajaan Malaysia sudah mengerahkan seluruh kekuatan anggota dan aset ke kawasan insiden. Dalam tempoh sembilan hari pencarian, sejumlah besar peruntukan digunakan bagi tujuan kos operasi.

“Jangan lupa anggota yang turut bergadai nyawa memasuki ruangan sempit dan berbahaya. Semua kos dan pengorbanan ini adalah bukti kerajaan tidak mengambil mudah soal nyawa insan sama ada warga tempatan mahupun pelancong asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI