fbpx

Bayi dibuang hampir digigit anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYI lelaki yang ditemui kesejukan di dalam beg di Pantai Paka, Dungun hari ini.

DUNGUN – Satu bayi lelaki dipercayai berusia kurang seminggu yang dibuang di dalam sebuah beg berwarna jingga terselamat daripada digigit anjing apabila tangisan didengari seorang pemandu lori di Pantai Paka di sini hari ini.

Sewaktu ditemui pada pukul 2 petang itu, bayi yang sudah dipotong tali pusat dan tidak berpakaian tersebut berada keadaan kesejukan di dalam beg yang diletakkan di dalam sebuah longkang di pantai peranginan tersebut.

Mohd. Zoo Abd. Rahman, 44, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang berehat di tepi pantai tersebut setelah menyelesaikan tugas mengambil kayu palet di sebuah kilang berhampiran.

“Sewaktu saya sedang berehat, saya terlihat dua ekor anak anjing berkeliaran sebelum terdengar bunyi tangisan bayi dari dalam beg yang diletakkan di dalam longkang kering berhampiran.

“Saya segera berlari menghalau anak anjing tersebut dan sebaik membuka beg tersebut, alangkah terperanjat apabila melihat bayi lelaki sedang kesejukan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zoo berkata, bayi itu hanya dialas dengan sehelai kain lusuh di dalam beg berkenaan.

Dia yang berasal dari Kampung Undang, Marang tersebut kemudiannya memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak berkuasa.

“Saya kesal ada yang tergamak membuang bayi. Jika tidak mahu serahkannya kepada mereka memerlukan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi memberitahu bayi itu telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI