fbpx

35 penjaja warga asing ditahan sertai festival makanan di Johor Bahru tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMIGRESEN Johor telah menahan seramai 35 penjaja warga asing di sebuah festival makanan di Johor Bahru kelmarin kerana tidak mempunyai permit sah di negara ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 35 penjaja yang terlibat dalam sebuah festival makanan di bandar raya ini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor kelmarin kerana berada dalam negara tanpa permit.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan pada pukul 8.30 malam.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada 20 lelaki dan enam wanita Thailand serta lapan lelaki dan seorang wanita Indonesia berusia antara 19 hingga 55 tahun.

“Tindakan itu dibuat susulan maklumat awam yang diterima berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin serta terdapat penyalahgunaan pas lawatan sosial.

“Dalam operasi itu, seramai 102 warga asing dan warga tempatan telah diperiksa. Ketika pemeriksaan dibuat, terdapat beberapa cubaan melarikan diri namun dapat dipatahkan pegawai terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rusdi, JIM Johor juga telah mengeluarkan lima notis hadir ke pejabat kepada beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Kesemua warga asing ditahan akan disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“JIM Johor komited membanteras warga asing yang memasuki negara ini tanpa permit atau menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk berada di Malaysia sebaliknya bekerja di negara ini,” ujarnya.

Beliau menambah, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI