SELEPAS 31 tahun, rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) milik pelari pecut legenda, G. Shanti akhirnya lebur selepas ratu pecut tanah air, Zaidatul Husniah Zulkifli melakukan catatan masa 11.49 saat (s).
Pelari berusia 31 tahun itu melakukan catatan masa itu ketika memenangi kejohanan Terbuka Perlis semalam, sekali gus memadam rekod 11.50s yang dilakukan Shanti pada Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Zaidatul yang mesra dengan panggilan Adik itu seolah-olah tidak dapat meluahkan perasaan gembira dengan kata-kata selain tidak percaya dia berjaya meleburkan rekod kebangsaan yang berusia sebaya dengannya.
“Saya rasa sangat sebak dan tiada kata-kata boleh diungkapkan kerana ketika melakukan persiapan, ramai yang sudah membantu selain ahli keluarga yang datang memberi sokongan hari ini (semalam).
“Sudah tentu rasa sangat gembira kerana bukan senang nak buat rekod kebangsaan dan sudah lama saya menantikannya. Bagi saya, ini adalah salah satu (pencapaian) yang ditunggu-tunggu,” katanya sebaik tamat aksi final.
Kejayaan dilakar Zaidatul pastinya memberi petanda positif buat skuad olahraga kebangsaan yang berada dalam persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand tahun depan.
Pada 2017, dia sudah pun berjaya mengatasi rekod Shanti pada Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan menerusi catatan 11.36s, namun ia tidak diiktiraf kerana menerima bantuan angin.
“Ketika di Afrika Selatan dahulu, ia (rekod) tidak diiktiraf, tetapi kali ini saya berjaya dapatkannya. Sudah lama menunggu dengan usia saya pun sudah 31 tahun, syukur Alhamdulillah,” ujarnya.
Sementara itu, pingat perak aksi final 100m wanita Terbuka Perlis menjadi milik Nur Afrina Batrisyia Rizal dengan catatan 11.91s manakala gangsa dimenangi Azreen Nabila Alias menerusi 12.00s.