fbpx

UNL: Jerman menang tanpa tonggak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNDAV meledak dua gol ketika membantu Jerman menewaskan Bosnia pada aksi awal pagi semalam. - AFP

ZENICA, Bosnia – Dua gol dalam tempoh enam minit menerusi penyerang, Deniz Undav membolehkan Jerman meraih tiga mata selepas menewaskan Bosnia 2-1 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Bilino Polje awal pagi semalam.

Meskipun tanpa kelibat beberapa pemain utama seperti Jamal Musiala, Niclas Fullkrug dan Aleksandar Pavlovic, namun skuad Die Manschaft itu masih mampu menampilkan aksi cukup baik bagi menguasai sepenuhnya permainan.

Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menyuarakan rasa puas hati terhadap aksi ditampilkan barisan pemainnya biarpun mengakui, mereka sepatutnya mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi ditampilkan semua pemain kerana semua orang tahu ini bukanlah pasukan terkuat. Masih ada pemain-pemain utama yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

“Saya gembira kerana kami tidak benarkan pasukan lawan melakukan banyak serangan balas pantas. Saya fikir, dua gol belum cukup jika dibandingkan dengan aksi yang dipamerkan sepanjang perlawanan,” katanya.

Kemenangan itu juga pastinya menjadi pembakar semangat buat pemain-pemain Jerman menjelang aksi penting menentang Belanda Selasa ini bagi merebut kedudukan teratas Kumpulan 3 bagi saingan Liga A UNL.

“Sudah tentu saya akan melakukan beberapa perubahan kerana sudah fikirkan mengenai perlawanan menentang Belanda. Kami perlu menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan itu nanti,” ujar Nagelsmann. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN