fbpx

Terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERLUMBAAN berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2024 yang berlangsung semalam menerima lebih 6,300 peserta dari 30 buah negara.

KUALA LUMPUR – Dua rekod baharu tercipta dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada penganjuran edisi kesembilan RHB Lekas Highway Ride 2024 yang berlangsung di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) semalam.

Rekod pertama yang tercipta menerusi jumlah penyertaan terbesar dalam acara berbasikal pada waktu malam di lebuh raya apabila lebih 6,300 pelumba dari 30 negara mengambil bahagian dan keduanya adalah jarak terpanjang perlumbaan malam di lebuh raya sejauh 105 kilometer (km).

Wakil MBOR menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd. Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lekas, Wan Salwani Wan Yusoff.

Mohd. Rashid berkata, pihaknya cukup teruja menyaksikan sambutan hangat diterima oleh setiap peserta yang bersemangat untuk berkayuh meskipun dalam keadaan hujan.

MOHD. RASHID (empat dari kiri) menerima sijil pengiktirafan dua rekod baharu daripada wakil Malaysia Book of Records.

“Kami sangat gembira dengan kehadiran luar biasa pada edisi kali ini. Ia adalah bukti komitmen kami untuk menggalakkan pembabitan semua pihak mengamalkan gaya hidup aktif. Kami sangat teruja melihat komuniti berbasikal berkembang setiap tahun.

“Ini bukan kali pertama kita berdepan situasi hujan seperti ini. Pernah juga beberapa kali kita menganjurkan acara ini dalam keadaan hujan tetapi masih dapat berjalan dengan lancar.

“Saya percaya semua pihak akan menanti-nantikan penganjuran edisi ke-10. Jika diperhatikan sepanjang sembilan edisi setakat ini, setiap tahun ada perubahan dan penambahbaikan. Apa yang penting bagi kami adalah soal keselamatan adalah perkara paling menjadi keutamaan,” katanya.

PARA peserta tetap bersemangat mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal pada waktu malam biarpun dalam keadaan hujan.

Perlumbaan itu menawarkan pelbagai kategori untuk memenuhi keperluan peminat sukan berbasikal dari semua peringkat usia termasuk 78km dan 105km selain Fun Ride sejauh 12 km serta 17km bagi merasai keseronokan berbasikal di lebuh raya pada waktu malam dalam suasana yang lebih santai.

“RHB Lekas Highway Ride bukan sekadar acara berbasikal, ia adalah perayaan perpaduan, kepelbagaian dan semangat komuniti. Dengan lebih 6,300 pelumba dari pelbagai latar belakang, acara yang mencipta dua rekod tahun ini mencerminkan komitmen kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Sebagai penaja tempat acara, kami memastikan lebuh raya ditutup sepenuhnya dengan pencahayaan lampu LED untuk kayuhan di sebelah malam yang selamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI