KUALA LUMPUR – Impian beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk menambah koleksi gelaran ketiga mereka pada tahun ini tercapai selepas menoktahkan kemenangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic dengan menundukkan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa, Finland sebentar tadi, Sze Fei-Izzudin itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 15-21, 21-15, 21-19 dalam tempoh 72 minit terhadap gandingan ranking No. 2 dunia tersebut.
Kemenangan tersebut ternyata memberi kepuasan kepada Sze Fei-Nur Izzuddin kerana mereka pada mulanya bermula sedikit goyah apabila tewas 15-21 pada set pertama tetapi gandingan ranking No. 8 dunia tersebut menggunakan senjata terbaik mereka menerusi pukulan smash padu menang pada set kedua untuk mengheret perlawanan mendebarkan itu ke rubber set.
Perlawanan semakin mendebarkan pada set penentuan apabila Sze Fei-Izzudin sekali lagi ketinggalan, bagaimanapun gandingan muda negara itu berjaya menyerap tekanan sebelum menang ke atas pasangan dari Denmark tersebut.
Ini adalah kemenangan kedua Sze Fei-Izzudin ke atas Astrup-Rasmussen dalam lapan pertemuan ketika ini kerana kali terakhir gandingan negara itu tewas di pentas suku akhir di Kejohanan Badminton Malaysia Masters pada Mei lalu.
Lebih manis, kemenangan di Terbuka Artik itu adalah gelaran ketiga buat Sze Fei-Izzuddin selepas pasangan negara itu melakukan kejutan menjuarai kejohanan berstatus Super 1000 di Terbuka China awal bulan lalu selain menjuarai Terbuka Jepun pada Ogos.
Kemenangan itu juga membolehkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM142,282. -KOSMO! ONLINE