fbpx

Tamatkan, tutup sekolah terlibat dera, salah laku – JAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tindakan tegas termasuk penamatan pendaftaran akan dikenakan terhadap mana-mana sekolah agama swasta di Selangor sekiranya didapati terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual terhadap pelajar.

SHAH ALAM – Tindakan tegas termasuk penamatan pendaftaran akan dikenakan terhadap mana-mana sekolah agama swasta di Selangor sekiranya didapati terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual terhadap pelajar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia dilakukan mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001) termasuk sekiranya pengurusan sekolah berkenaan melakukan apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.

Katanya, JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama.

“Beberapa kes melibatkan penderaan fizikal dan kes seksual melibatkan pelajar sekolah agama swasta sangat mendukacitakan dan terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam.

“Kes terbaharu yang tular melibatkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan telah ditemui kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual sekiranya benar berlaku, adalah suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam,” katanya hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, empat pelajar tahfiz yang hilang sejak Isnin lalu selepas keluar dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dekat sini ditemui di Bangi, Khamis lalu.

Polis membuka dua kertas siasatan berkait amang seksual dan penderaan dengan pemeriksaan pihak hospital menemui kesan kecederaan lebam pada tubuh badan keempat-empat kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga 14 tahun.

Mohd. Shahzihan berkata, ibu bapa dan penjaga diingatkan supaya sentiasa memerhati perkembangan anak-anak dari semasa ke semasa.

Ujarnya, ini agar kelainan sikap dan tingkah laku anak-anak yang dikesan di peringkat awal dapat dihadapi dengan langkah-langkah yang sesuai dan tepat seterusnya dapat mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan para pelajar.

“Mengikut Seksyen 8 enakmen, pihak sekolah swasta adalah tertakluk untuk didakwa dan mendakwa.

“Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah tidak diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menekankan agar para pendidik sepatutnya memberi contoh teladan yang baik kepada para pelajar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI